Kim Swee tidak terkilan

Ong Kim Swee tidak terkilan biarpun namanya bukan pilihan untuk menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

KUALA LUMPUR - Tiada rasa terkilan atau kecewa di hati jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee apabila mengetahui namanya bukan pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, malah beliau menerima keputusan itu dengan terbuka.
Menganggap perjalanan kariernya sebagai seorang jurulatih masih panjang, Kim Swee tetap memberikan penghargaan kepada FAM yang terus memberi kepercayaan kepadanya untuk membimbing Harimau Muda A sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun lagi, selain pelantikan sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya.
Dalam masa sama, beliau tetap bersedia memikul tanggungjawab tambahan diberikan oleh FAM iaitu membantu individu yang bakal membimbing Harimau Malaysia apabila mengharungi sebarang kejohanan.
“Saya tidak ada sebarang masalah menerimanya jika itu keputusan yang telah ditetapkan oleh FAM dan keutamaan saya kini adalah untuk mengendalikan Harimau Muda A.
“Bersama Harimau Muda A, saya lihat tetap satu perancangan penting kerana di situlah terbinanya pembentukan skuad kebangsaan selain tanggungjawab saya pada 2014 juga turut bertambah.
“Segala program yang melibatkan Harimau Muda B atau C kini akan dipantau oleh saya supaya ada kesinambungan apabila seseorang pemain itu bergerak daripada satu pasukan ke pasukan lain," katanya ketika dihubungi semalam.
Hamidin yang ditemui di Wisma FAM pada Khamis lalu mengesahkan, ketua jurulatih Harimau Malaya akan diketahui selewat-lewatnya pada Februari depan sambil memberi bayangan kerusi panas yang ditinggalkan oleh Datuk K. Rajagobal itu bakal diisi jurulatih luar negara.
Difahamkan, lima nama besar telah disenarai pendek untuk jawatan itu dengan bekas jurulatih Jepun untuk Piala Dunia 2002, Philippe Troussier menjadi nama paling hangat dikaitkan selepas FAM mengadakan pertemuan dengannya di London pada bulan lalu.
Calon lain ialah bekas pengurus AS Roma, Zdenak Zeman dan bekas pemain antarabangsa Perancis dan Chelsea, Marcel Desailly andai impian FAM mendapatkan Troussier tidak kesampaian.
Kim Swee menegaskan fokus utamanya tahun ini adalah Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, selain penyertaan dalam National Premier League (NPL) di Queensland, Australia yang berlangsung dari Mac hingga Ogos.
Namun, sebelum memikirkan cabaran pasukannya di Australia, beliau perlu mendapatkan pengganti Hassan Sazali Waras, penolongnya yang telah dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih Harimau Muda C.
“Pengganti kepada Hassan saya akan namakan apabila pulang dari Australia dengan Hamidin selepas minggu hadapan, saya tidak mahu namakan sesiapa tetapi calon itu sudah ada," katanya.

Comments

Popular Posts