Kenapa Kita Perlu Hormati Masa Orang Lain?
Kita mudah merasa gembira apabila setiap janji yang dibuat itu ditepati dan dilaksanakan. Sesiapa sahaja pasti suka akan perkara yang sama di mana ia menunjukkan bahawa si penabur janji itu benar-benar serius dan komited melaksanakan janjinya.
Namun begitu, tidak semua janji bisa ditepati. Jika sekali, boleh dimaafi. Jika sudah berkali-kali, janji pasti tinggal janji. Jadi, selamat datang ke misi memusnahkan kredibiliti diri sendiri.
Kita sering mendengar kata-kata sebegini bukan?
..untuk dihormati, hormati orang lain terlebih dahulu.
Ada benarnya juga kata-kata ini. Ianya menggambarkan satu situasi di mana di dalam perihal menjaga hubungan, kita wajar untuk menunjukkan hormat terlebih dahulu andai kita mahu dihormati.
Aspek menepati dan menghormati masa orang lain juga antara yang mustahak dalam menunjukkan rasa hormat kita. Jika ia diabaikan, pasti tercalar nama baik kita di mata mereka.
Persoalannya di sini, kenapa kita perlu hormati masa orang lain?
# 1 – Mereka Telah Korbankan Masa Mereka Untuk Kita
Bayangkan satu situasi mana kita telah berjanji untuk hadir bertemu seseorang dan dia telah mengorbankan masa-masanya untuk urusan lain hanya kerana mahu berjumpa dengan kita. Bayangkan alangkah kecewanya rasa dihatinya andai kita terlewat satu jam daripada waktu yang dijanjikan.
Jika orang lain boleh korbankan masa dan hadir tepat pada masanya, kenapa tidak kita?
# 2 – Mereka Percaya Kita
Membina kepercayaan bukan satu proses yang mudah. Jika kita seorang peminat tegar Burger Bakar A sebelum ini, kehadiran gerai Burger Bakar B di sebelah tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada kita selagi kita percaya bahawa Burger Bakar A adalah yang terbaik.
Proses membina kepercayaan itu umpama proses membina jenama. Semakin lama sesuatu jenama itu di pasaran (selagi mana bebas daripada isu-isu jiwa kacau), semakin kuat kepercayaan prospek terhadap jenama itu.
Kenapa kita sangat mudah memadamkan kepercayaan mereka (orang yang meletakkan kepercayaan kepada kita)?
# 3 – Mereka Sudah Kenal Rasa ‘Sakit Hati’
Bagi mereka yang sudah terkena dengan pelbagai janji-janji manis, pasti mereka sudah acap kali merasa sakitnya hati apabila waktu tidak ditepati dan dihormati. Sebab itulah mereka berikan komitmen untuk tepati masa bersama anda bagi menjaga hati anda dan hubungan yang telah terbina.
Jadi, apa perasaan anda jika waktu dan masa anda pula tidak dihormati orang lain? Suka atau ataupun sebaliknya?
***
Jika dengan masa yang telah berlalu pergi angkara janji palsu yang telah kita buat itu boleh memberikan ruang untuk orang lain menyelesaikan perkara-perkara yang lebih mustahak di dalam kehidupannya pada hari itu, kenapa kita begitu sukar untuk memaklumkan sahaja kepadanya bahawa kita telah gagal menepati janji?Kredit foto: Bethan