Bas persiaran terbalik, 24 cedera

SEPANG 7 Jan. - Seramai 24 penumpang cedera selepas bas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 27.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 7.02 petang itu, bas yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an dalam perjalanan dari Klang menghala ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan akibat tayar kenderaan tersebut pecah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Supritendan Zaldino Zaludin berkata, akibat kejadian itu, bas tersebut terbabas dan menyebabkannya terbalik di tepi jalan.
"Enam penumpang serta seorang penumpang warga emas yang turut tercedera dan mengalami sakit dada telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.
"Seramai 17 lagi penumpang yang mengalami cedera ringan hanya mendapatkan rawatan di tempat kejadian oleh pasukan perubatan daripada Hospital Putrajaya dan Serdang," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pemandu bas tidak mengalami apa-apa kecederaan dan akan diambil keterangan berhubung kejadian itu.
"Dalam kejadian ini, kita turut dibantu oleh pasukan peronda lebuh raya ELITE 8, anggota Unit Tindakan Cepat Trafik (UTC), pihak perubatan hospital Putrajaya dan Hospital Serdang serta Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya lagi. - UTUSAN

Comments

Popular Posts